Kejayaan hanya dalam agama Allah...sejauh mana dapat taat perintah cara Nabi saw.
Kewajipan Berpegangan Dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. telah lengkap dan sudah mencukupi untuk memandu seseorang hamba untuk memperolehi keredhaan Allah s.w.t dan selamat dari kemurkaanNya. Setiap bentuk ibadat telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat dan mereka pula mengajarkannya kepada generasi seterusnya. Mengamalkan agama sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda merupakan sunnah dan meninggalkannya pula adalah derhaka.
Tetapi malangnya berlaku bermacam fitnah terutamanya setelah kewafatan Sayyidina Uthman r.a. khalifah Islam yang ketiga. Musuh-musuh Islam mengimport pelbagai fahaman dan konsep baru yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Perkara-perkara baru ini dinamakan bid`ah kerana kewujudannya itu adalah bertentangan dengan sunnah.
Bid`ah ialah satu perkara baru yang tidak pernah diamalkan oleh sahabat dan para tabi`in malah tidak dituntut oleh dalil syara` dan ia merupakan perbuatan yang bercanggah dengan sunnah. Apabila disebutkan sunnah maka lawannya adalah bid`ah sebagaimana syirik lawan bagi tauhid. Tauhid bererti kesempurnaan kesaksian seseorang terhadap keesaan Allah manakala sunnah bermakna kesempurnaan kesaksian terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, syirik dan bid`ah merupakan ancaman yang sangat berbahaya terhadap syahadah seorang muslim.
Banyak ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang memerintahkan kita supaya berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan berwaspada terhadap rekaan dalam agama. Antara ayat-ayat tersebut ialah:
وأن هذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa. (al-An`am: 153)
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبونَ اللَّهَ فَاتَّبعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah: “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, pasti Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Ali `Imran: 31)
عن جابر بن عبد الله قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا خطب احمرت عيناه وعلا صوته واشتد غضبه حتى كأنه منذر جيش يقول : صبحكم ومساكم . ويقول : بعثت أنا والساعة كهاتين ، ويقرن بين إصبعيه السبابة والوسطى . ويقول أما بعد فإن خير الحديث كتاب الله وخير الهدي هـدى محـمـد وشر الأمـور محدثاتها وكل بدعة ضلالة ) رواه مسلم
Daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah s.a.w. apabila berkhutbah, matanya menjadi merah, suaranya menjadi tinggi seolah-olah seperti ketua yang memberi peringatan kepada tenteranya: Waspadalah pada waktu pagi dan petang (sentiasa berjaga-jaga). Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan dalam keadaan kiamat sangat hampir berlaku seperti dua jari ini. Baginda merapatkatkan jari tengah dan jari telunjuknya. Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad dan kejahatan yang paling buruk ialah perkara-perkara rekaan dan setiap bid`ah itu sesat.” (hadis riwayat Muslim)
وعن عبد الله بن مسعود قال :[ خطَّ لنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يوماً خطاً ثم قال : هذا سبيل الله ثم خطَّ خطوطاً عن يمينه وعن شماله ثم قال : هذه سبل على كل سبيل منها شيطان يدعو إليه ثم قرأ :( وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ )) الآية ، رواه الدارمي وأحمد والنسائي
Daripada Abdullah bin Mas`ud katanya: “Pada suatu hari Rasulullah telah membuat satu garis sambil bersabda: Ini adalah jalan Allah. Kemudian baginda membuat beberapa garisan di sebelah kanan dan kiri garis tadi dan bersabda: Ini adalah beberapa jalan yang masing-masing mempunyai syaitan yang menyeru kepadanya. Kemudian baginda membaca ayat: “Sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa.” (al-An`am: 153)
(hadis riwayat al-Darimi, Ahmad dan al-Nasa’i)
وعن أبي شريح الخزاعي قال :( خرج علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : أليس تشهدون أن لا إله إلا الله وأني رسول الله ؟ قالوا : بلى . قال : إن هذا القرآن طرفه بيد الله وطرفه بأيديكم فتمسكوا به فإنكم لن تضلوا ولن تهلكوا بعده أبداً ) رواه الطبراني في الكبير بإسناد جيد.
Daripada Abu Syuraih al-Khuza`I katanya: Rasulullah s.a.w. keluar menemui kami seraya bersabda: Tidakkah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan saya ini pesuruh Allah? Mereka menjawab: Ya, benar sekali. Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya al-Qur’an ini, satu hujungnya pada Tangan Allah dan satu lagi pada tangan kamu. Oleh itu, hendaklah kamu berpegang teguh dengannya kerana kamu tidak akan sesat dan binasa selepasnya buat selama-lamanya. (hadis riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu`jam al-Kabir dengan sanad yang jayyid.
2 comments:
SRI dusun jalan daaa
baik sokmo
Catat Ulasan